#PemilihanUMNO: DS @HishammuddinH2O Pertahankan Jawatan Naib Presiden #PAU13

PUTRAJAYA - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan kesediaannya untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya dalam pemilihan parti pada hujung tahun ini.

Menteri Pertahanan itu berkata, keputusan tersebut dibuat bagi meneruskan agenda perjuangan parti serta mahu memberikan perkhidmatan terbaik demi kepentingan agama, bangsa dan negara.


Beliau yang turut memangku jawatan Menteri Pengangkutan berkata, kesediaannya untuk mempertahankan jawatan tersebut mendapat restu ahli-ahli parti di peringkat akar umbi di bahagian Sembrong serta ahli keluarga terdekat.

"Saya umumkan perkara ini dalam mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong kerana penting bagi memastikan ahli-ahli UMNO di sana memberi maklum balas yang baik terhadap kesediaan saya untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden.

"Saya berterima kasih kepada ahli-ahli UMNO di Sembrong kerana banyak memberikan sokongan kepada saya, selain sentiasa bersatu hati dalam membuat sebarang keputusan demi kepentingan parti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Aidilfitri 2013 di sini hari ini.

Sebelum ini, dua lagi penyandang jawatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah menyatakan kesediaan masing-masing untuk mempertahankan jawatan yang disandang sejak pemilihan 26 Mac 2009.

Hishammuddin yang merupakan Ahli Parlimen Sembrong berkata, dalam pemilihan kali ini kesemua jawatan tertinggi parti di peringkat bahagian Sembrong tidak akan dipertandingkan.

"Tiga hari lepas saya telah menghadiri mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian Sembrong dan selepas perbincangan dibuat, kami sebulat suara tidak mempertandingkan jawatan tertinggi di peringkat bahagian. Ini membuktikan kami amat berhemah dalam membuat keputusan.

"Ada di antara penyandang dengan rela hati memberi laluan kepada muka baharu dan ada juga memegang jawatan sama pada penggal akan datang, tiada sebarang masalah dan penentangan, kami mendapat maklum balas yang baik daripada ahli-ahli UMNO di Sembrong," katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin pemilihan UMNO yang akan dilaksanakan pada hujung tahun ini akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah kerana setiap ahli UMNO mempunyai tahap kesedaran tinggi dalam melaksanakan tugas bagi memilih pemimpin berkaliber. -UM
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. #PAU13 - All Rights Reserved
xxxx xxxx xxxx xxxx
Proudly powered by Blogger