PALING HANGAT DI #PAU13
print this page
ENTRI TERKINI

#PemilihanUMNO: Rafidah Tidak Pertahan Jawatan MT


GEORGE TOWN: Bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti pada Oktober.

Rafidah, anggota MT Umno paling lama berkhidmat iaitu sejak 1975, berkata generasi muda perlu diberi peluang bertanding jawatan MT pada pemilihan Umno tahun ini.

"Saya paling lama berkhidmat sebagai MT sejak Tun Abdul Razak Hussein menjadi Presiden parti sehingga hari ini dan kini tiba masanya bagi saya untuk bersara daripada politik.

"Sejak 35 tahun lalu, saya telah memenangi jawatan itu (MT Umno) dengan bertanding dan bukan dilantik. Saya tahu saya tidak boleh memegang jawatan itu selama-lamanya kerana saya kini berumur 70 tahun dan kita perlu memberi lebih peluang kepada generasi muda untuk bertanding," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak Wanita MNC wilayah utara di sini, Isnin.

Rafidah yang menyertai UMNO pada 1970, menang buat kali pertama pada pilihan raya umum 1978 bagi kerusi Parlimen Selayang selepas mengalahkan calon DAP Zainal Rampak dengan majoriti 21,279 undi.

Pada pemilihan Umno 1984, beliau menjadi ketua wanita Umno selepas menewaskan Datin Paduka Zaleha Ismail dengan 71 undi tetapi pada 2008, beliau gagal mempertahankan jawatan itu selepas tewas kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Pada masa ini, Rafidah merupakan pengerusi bukan eksekutif dan Pengarah bukan eksekutif bebas AirAsia X Bhd.

Beliau berkata politik bukan semata-mata untuk memenangi jawatan dalam parti atau pilihan raya umum tetapi ia mengenai berkhidmat kepada negara.

"Bagi saya, politik ialah untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat bagi memastikan negara mencapai matlamatnya," katanya.

Pada pilihan raya umum 1982, Rafidah bertanding di Kuala Kangsar, Perak dan akhirnya menjadi anggota Parlimen selama tujuh penggal dengan yang terakhir pada 2008 apabila mengalahkan calon PAS Khairuddin Abd Malik dengan 1,458 undi.

Jawatan terakhirnya dalam kerajaan ialah sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sehingga akhir 2008.Rafidah tidak dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13. - BERNAMA
0 comments

#PemilihanUMNO: @Azalina Bertanding #KetuaWanita Demi Nasib 200,000 Bekas Puteri

KOTA TINGGI 25 Ogos - Langkah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menawar diri bertanding merebut jawatan Ketua Wanita UMNO dengan mencabar penyandang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertujuan memastikan kira-kira 200,000 bekas ahli Puteri UMNO tidak disisihkan daripada arus politik perdana negara.

Azalina yang juga bekas Ketua Puteri UMNO berkata, berdasarkan maklum balas dalam kalangan bekas ahli Puteri yang secara automatik menjadi ahli Wanita UMNO sebaik sahaja mencapai usia 35 tahun, kewujudan mereka dalam parti keramat itu seolah-olah tidak dihiraukan malah banyak ditekan kepimpinan cawangan atau bahagian.

"Bagi saya, peranan bekas ahli Puteri UMNO dalam tampuk kepemimpinan parti tidak harus diketepikan, malah kesinambungan mereka dalam parti perlu diberi perhatian supaya tidak terlepas kepada pihak lain terutama pembangkang. Tanpa kesinambungan, saya bimbang mereka akan 'disambar'.

"Dalam hal ini, saya amat mengambil berat soal kesinambungan Puteri UMNO kepada Wanita UMNO dan kita perlu terima hakikat peranan mereka akan tamat bila mencecah usia 35 tahun. Mereka dilatih sebagai 'tentera' dalam pilihan raya umum, jadi ini boleh menguatkan parti dengan apa saja peranan," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang ditemui pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang, di Bandar Penawar, di sini semalam.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 tetamu itu, Azalina turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak selain penyerahan sebanyak 1,500 bendera kepada penduduk tempatan sebagai menghayati bulan kemerdekaan.

Dalam pada itu, Azalina menegaskan, keputusannya bertanding bukan untuk mewujudkan kacau-bilau sebaliknya satu evolusi membawa kebaikan.

Katanya, pertandingan itu tidak sepatutnya menidakkan muka baharu kerana sokongan ditentukan oleh ahli yang bijak membuat pilihan.

"Jika dulu sistem kuota menyebabkan mereka memilih orang yang salah tetapi kini sistem pemilihan lebih terbuka. Apa yang saya miliki terutama pengalaman sekurang-kurangnya dapat membantu menguruskan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya. -UM
0 comments

#PemilihanUMNO: 'PERJUANGAN' atau Sekadar Fitrah??

DALAM keghairahan menjelang musim pemilihan UMNO sekarang, ramai yang menawarkan diri untuk bertanding dan ramai penyandang yang mempertahankan jawatan sekarang melaungkan istilah ‘PERJUANGAN’.

Boleh dikatakan semua yang terlibat mempertahankan atau menawarkan diri adalahuntuk meneruskan ‘perjuangan’ membela nasib bangsa, agama dan tanah air, sehinggakan pengertian kepada istilah tersebut sekarang menjadi semakin kabur dan terlalu ‘klise’.

Ramai pemerhati dan rakyat kini sudah terlalu faham definisi sebenar ‘PERJUANGAN’ kini adalah tidak lebih dari mendapatkan pengiktirafan dan habuan apabila melihat apa yang berlaku di dalam UMNO kini.

Nasib bangsa sendiri kini diambang perpecahan, agama Islam semakin dipersendakan, dan Negara diperlekehkan disebabkan apa yang dibawa atas nama ‘PERJUANGAN’ ini. Ia berlaku kerana yang melaungkan diri mereka berjuang ini akan merasa kecewa bila diri tidak diiktiraf, akan merasa marah bila tidak mendapat habuan yang sepatutnya dari ‘perjuangan’ mereka.

Ramai yang mengumumkan diri untuk bertanding tidak menyatakan secara jelas apa visi dan misi mereka dalam menawarkan diri, hanya tahu duplikasi kenyataan dari mereka yang sebelumnya yang mahu meningkat naik dalam arena politik dan kesudahannya akan tetap sama seperti biasa.

Jarang yang menyatakan keputusan mereka menawarkan diri ini adalah hanyalah menjalankan FITRAH seorang Islam, anak Melayu dan Warganegara yang marah bila Islam dipersendakan, benci bila Bangsa di hina dan geram bila Negara diperlekehkan.

Bagi saya jika mereka menganggap dan menanamkan dalam diri mereka apa yang mereka lakukan ini hanyalah sebagai FITRAH hidup, mereka tidak akan sekali kali kecewa bilamana tidak dapat apa apa pengiktirafan dan habuan.

Mereka akan terus bekerja untuk menaikkan imej Agama, Bangsa dan Negara walau tiada apa apa jawatan diberikan kepada mereka. Mereka juga tidak akan melepaskan kekecewaan dengan mensabotaj parti kelak.

Dengan kata lain mereka yang berkerja dengan niat dan fitrah sebegini akan lebih istiqamah dan mempunyai nilai jati diri yang amat tinggi hingga tidak boleh digangu gugat oleh perkara yang mengecewakan mereka.

Jadi dalam pemilihan UMNO kali ini harapnya Ahli UMNO yang rata rata sudah kenal mereka yang menawarkan diri dan yang mempertahankan jawatan, akan memilih setelah melihat kepada FITRAH semula jadi calon dan penyandang adakah mereka ini konsisten dalam setiap tindakan mereka yang bangkit bila Agama Bangsa dan Negara digangu.

Bukan memilih yang hanya memiliki FITRAH melawan bila kedudukan diri digangu dan habuan dari ‘PERJUANGAN’ tidak diperolehi. Resmi Harimau menerkam mangsa buruan adalah bukan kerana ia berjuang untuk hidup, tapi ia adalah FITRAH yang Allah tentukan sebagai sifatnya begitu.

Sama sama kita bermuhasabah diri…. [SUMBER]
0 comments

#PemilihanUMNO: Undian Online, @LokmanAdam Dahului Calon #NKPUM Lain! #Lokman4NKP


PELBAGAI retorik & spekulasi yang dimainkan di ruang siber untuk menjatuhkan imej calon Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia - Lokman Noor Adam nampaknya tidak memberi kesan kerana kajian menunjukkan Lokman berada di carta paling atas setakat ini dalam perlumbaan untuk merebut kerusi NKPUM.


Hasil undian di blog otai TaipingMali, Lokman meninggalkan jauh calon-calon lain berdasarkan undian online. Ini mungkin tidak mengambarkan keputusan sebenar Pemilihan 2013 untuk kerusi NKPUM, tapi boleh dijadikan signifikan 'serangan peribadi' ke atas Lokman telah menjadi 'backfire' dan menambahkan lagi popularitinya!! [baca seterusnya...]
0 comments

#PemilihanUMNO: Zed Zaidi Tawar Bertanding Exco Pemuda @RozaidiJamil

PRESIDEN Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi mengesahkan hasratnya untuk bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda Umno pada pemilihan parti Oktober depan.

Zed Zaidi, 33, atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil yang juga Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian pergerakan itu berkata, dia mengambil keputusan tersebut setelah mendapat sokongan padu daripada ahli pergerakan itu seluruh negara.

“Pada asalnya saya hanya bertanya pendapat sahaja namun apabila melihat maklum balas yang menggalakkan terutamanya daripada pemuda-pemuda daripada setiap negeri, saya teruskan hasrat tersebut (bertanding).

“Sekarang saya dalam proses kempen dan perkenalkan diri. Saya sudah pergi beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan dan Kedah untuk berjumpa dengan pemuda-pemuda di sana,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.


Dalam pada itu, Zed berkata, matlamat utama untuk dia bertanding jawatan tersebut adalah bagi menjadi wakil daripada golongan seni untuk memberi pendapat selain menjadi orang tengah kepada pucuk pimpinan.

“Saya merupakan artis pertama yang bertanding dalam pemilihan ini. Bagi saya ia dapat memberi peluang kepada pihak parti untuk mengetahui suara sebenar dan masalah dalam industri yang orang luar industri tidak tahu.

“Selain itu, saya mahu Umno memberi peluang kepada golongan muda dan artis untuk sama-sama dalam memperjuangkan parti. Kita ada di kalangan artis yang beralih dengan menyokong pihak pembangkang kerana mereka diberi peluang untuk bersuara dalam parti pembangkang tersebut,” katanya.

Jelas Zed, dengan adanya laluan tersebut dia berharap dapat mengubah landskap industri seni ke arah yang lebih baik dan terbela.

Sementara itu, Zed berkata, jawatan dan tanggungjawabnya dalam Seniman tidak akan terjejas jika dia terpilih memegang jawatan dalam Pemuda Umno.

“Tiada apa-apa masalah dengan persatuan jika saya menang dalam pemilihan ini. Saya masih tetap utamakan matlamat persatuan dan kebajikan ahli-ahli,” katanya.

Jelas Zed, dengan format baharu pencalonan yang terbuka kepada semua ahli Umno, ia memberi peluang kepadanya untuk turut sama mencuba nasib dalam pemilihan kali ini.

“Kalau dulu memang susah kerana banyak peringkat dan pemilihan, dengan format baru ini siapa-siapa yang layak boleh hantar borang pencalonan.

“Saya layak kerana melepasi syarat utama iaitu menjadi ahli parti lebih daripada tiga tahun yang mana saya sudah menjadi ahli sejak 2007 selain memegang pelbagai jawatan,” katanya.

Pendaftaran penamaan calon untuk pergerakan sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu akan dilakukan pada 21 September depan. – mStar
0 comments

#PemilihanUMNO: Ketua Pemuda - KM Melaka, Idris Harun Akan Cabar @KhairyKj??

PETALING JAYA: Hasrat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk menang tanpa bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno pada 19 Oktober depan mungkin tidak tercapai apabila terdengar desas-desus beliau akan dicabar oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Harun.

Menurut sumber, Idris yang juga bekas Exco Pemuda Umno di zaman Datuk Seri Hishamuddin Hussein dijangka mencabar Khairy yang sudah tamat sepenggal memegang jawatan tersebut.

Pada tahun 2009, Khairy menang dalam pertandingan tiga penjuru dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Sumber itu menambah Idris mahu menjadi pengganti Tan Sri Rahim Thamby Chik yang pernah memimpin pergerakan itu 20 tahun lalu apabila beliau mengalahkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad pada tahun 1993.

Pada tahun 2008, Idris dilantik Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Namun demikian apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009, beliau telah menggugurkan Idris dari jawatan timbalan menteri walaupun beliau menang kerusi ahli majlis tertinggi Umno .

Ini adalah kerana beliau adalah pengurus kempen Datuk Seri Ali Rustam yang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada tahun tersebut.

Ali yang dikatakan calon favourite dalam pertandingan Timbalan Presiden Umno tidak dibenarkan bertanding menentang Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya Muhyiddin berhadapan dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dalam pertandingan dua penjuru.

Idris selaku anak didik Ali dijangka menggunakan pengalamannya untuk mengalahkan Khairy yang merupakan menantu Pak Lah.

Jika Idris kalah, dia tidak kehilangan apa-apa kerana sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, beliau akan tetap berada dalam majlis tertinggi Umno. Sebaliknya jika Idris menang, beliau akan menjadi Ketua Pemuda yang secara automatik adalah Naib Presiden Umno.

Jika Idris menang, pemuda Umno yang pernah dipimpin Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris pada tahun 70an dahulu akan dipimpin Ketua Menteri Melaka pula, Datuk Idris Harun.

Jika Idris jadi bertanding, ini bermakna Khairy tidak diberi peluang menang tanpa bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno seperti yang dilalui Najib (1988) dan Hishamuddin (1999). Namun demikian pemerhati politik percaya Khairy mampu menumbangkan Idris dalam pertandingan dua penjuru itu. -FMC
0 comments

#PemilihanUMNO: Pengalaman - Aset Isa Samad Bertanding Naib Presiden!

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO Oktober ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, sebagai orang lama dalam parti banyak pengalaman yang boleh disumbangkan kepada UMNO dan berharap mendapat sokongan.

Menurutnya, jika terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden, beliau yakin dengan pengalaman serta kemampuannya itu mampu membantu memperkukuh parti pada masa hadapan.

"Apa yang saya miliki terutamanya dari segi pengalaman dan kebolehan dapat membantu mengurus parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan krim mandian Purich keluaran Delima Oil Products Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FVGH) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad; Presiden FVGH, Mohd. Emir Mavani Abdullah dan Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) Delima Oil, Zakaria Arshad.

Pada pemilihan 2004, Mohd. Isa meraih undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden tetapi beliau kemudiannya digantung keahlian kerana melanggar etika pemilihan parti.

Selepas tiga tahun digantung, pada 23 Jun 2008 keahlian beliau dikembalikan dan seterusnya berjaya memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Mengenai persaingan sengit yang bakal dihadapinya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau tidak gentar kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri.

"Ia bukan satu masalah besar. Saya mempunyai pengalaman secukupnya (untuk bertanding) malah penuh warna-warni. Ada turun dan naik. Politik saya masih hidup," ujarnya.

Ditanya mengapa masih mahu bertanding dan bukan beri laluan kepada calon muda, Mohd. Isa berkata, pemimpin berpengalaman masih diperlukan untuk memantapkan parti.

Jelasnya, sebagai sebuah parti yang besar, UMNO memerlukan gabungan dan kerjasama mantap antara pemimpin berpengalaman dan golongan muda sebagai pelapis.

Sementara itu, Mohd. Isa menjelaskan beliau tidak meletak sasaran untuk memenangi jawatan Naib Presiden sebaliknya menyerahkan kepada 150,000 perwakilan membuat keputusan.

"Saya serah kepada perwakilan untuk buat pertimbangan. Kalau difikirkan saya sesuai, mereka pilih saya. Kalau tak sesuai, saya tiada masalah dengan itu," katanya. -UM
0 comments

#PemilihanUMNO: Shahrizat Tidak Gentar Hadapi Isu NFC Pada Pemilihan Umno

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak gentar untuk berdepan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) membabitkan suaminya pada pertandingan merebut jawatan tertinggi Pergerakan Wanita Umno Oktober ini.

Ketua Wanita Umno itu tidak menolak isu itu akan dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak menyokongnya, dan menegaskan beliau tidak gentar dengan perkara itu.

"Yang hendak bertanding adalah saya, Shahrizat Abdul Jalil dan bukannya suami saya (pengerusi eksekutif NFC Datuk Dr) Mohamad Salleh Ismail.

"Suami saya walaupun menghadapi pelbagai tohmahan dan fitnah, beliau tidak dijatuhkan apa-apa hukuman...kita kena ingat dalam dunia ni termasuk Malaysia seseorang itu tidak dianggap bersalah sebelum hukuman dijatuhi," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat pemilihan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

"Saya tak tahu ia (isu NFC) menjejaskan atau tidak (peluang untuk menang). Pada saya isu ini dah dua tahun dimainkan pembangkang, dan tak ada apa yang Wanita (Umno )tidak tahu. Mereka dah dengar semua, pada saya pilihlah sesiapa yang mereka mahu," katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi keterbukaannya mengenai sesiapa juga yang ingin mencabar jawatan Ketua Pergerakan Wanita.


Sebelum ini, hanya bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Azalina Othman Said yang menyuarakan hasrat bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita yang dimenangi Shahrizat pada pemilihan 2009.

Shahrizat juga menyeru anggota Wanita Umno agar bertanding dan memilih kepimpinan sayap itu secara berhemah dan dalam suasana kekeluargaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali mengharapkan kerjasama penuh daripada anggota parti bagi memastikan pemilihan yang menggunakan kaedah dan peraturan baharu itu berjalan lancar.

"Kejayaan kita menjayakan proses ini dengan sempurna adalah testimoni kepada hasrat kita untuk menjadikan amalan demokrasi dalam Umno terus subur dan menjadikan Umno terus relevan dan perkasa". - BERNAMA
0 comments

#PemilihanUMNO: Ketua Puteri UMNO Melaka Tawar Diri Bertanding


MELAKA – Ketua Pergerakan Puteri Umno Melaka, Mas Ermieyati Samsudin, 37, menawarkan diri bertanding bagi jawatan Ketua Puteri pada pemilihan parti kali ini, jawatan yang dikosong penyandangnya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas mendapat maklum balas serta sokongan yang baik anggota dan sahabat puteri dari seluruh negara.

“Saya berharap berdasarkan pengalaman saya dalam Puteri selama tiga penggal sebagai Ketua Puteri Umno negeri, dan menjadi Exco selama dua penggal serta berada dalam kepimpinan tiga puteri yang berbeza sebelum ini, akan menjadi nilai tambah dan sokongan buat anggota puteri,” katanya kepada pemberita di sini.

Mas Ermieyati, yang juga seorang peguam serta Anggota Parlimen Masjid Tanah setelah memenanginya pada pilihan raya umum Mei lepas, berkata beliau akan bekerja keras bagi mendapat sokongan anggota Puteri bagi meneruskan kesinambungan pemimpin sebelum ini.

“Saya juga telahpun menyampaikan hasrat saya ini kepada Rosnah, dan Timbalan Menteri Kerja Raya itu menasihatkan agar saya bertanding secara sihat,” katanya.

Rosnah tidak mempertahan jawatan Ketua Puteri kerana mencapai had umur selepas menerajui kepimpinan sayap itu selama lima tahun.
0 comments

#PemilihanUMNO #PAU13: UMNO Perlu Masa Untuk Berubah - DS @NajibRazak


PUTRAJAYA, 8 Ogos 2013 - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata ia akan mengambil sedikit masa, mungkin juga "beberapa generasi" untuk parti Umno berubah.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata parti itu sudah memulakan proses perubahan dengan meminda perlembagaan.

"Ya, saya bersetuju Umno perlu berubah. Bagi Umno untuk menjadi relevan, Umno perlu bergerak dengan masa supaya ia mencerminkan perubahan nilai-nilai dalam masyarakat.

"Saya percaya Umno telah mendapat mesej itu tetapi seperti mana-mana parti politik, ia mengambil masa untuk berubah," katanya pada sidang media di rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini.

Najib juga diminta mengulas buku bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bertajuk 'Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia', termasuk isu Umno enggan untuk melakukan perubahan. Beliau berkata: "Saya simpan komen saya dulu sehingga saya baca buku itu. Saya tidak boleh mengulas berdasarkan komen orang lain. Saya perlu membaca buku itu, (dan komen) berdasarkan tafsiran saya mengenai buku itu."

Najib juga berkata bahawa ia adalah mudah untuk mengkritik sebuah parti yang memegang kuasa seperti Umno.

"Ia adalah mudah untuk berjanji tetapi janji harapan tidak mudah apabila anda perlu menunaikannya. Anda mesti ingat bahawa banyak pihak di dunia menabur janji harapan dan telah gagal mengotakannya," katanya.

Apabila ditanya mengenai kenyataan Abdullah bahawa cabaran yang paling besar untuk beliau (Najib) adalah bantahan terhadap transformasi negara, Najib berkata program transformasinya adalah kesinambungan daripada apa yang telah dimulakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mencapai Wawasan 2020 di mana ianya disokong oleh penggantinya, Abdullah.

"Kini, ia adalah masa saya. Saya perlu mengotakannya. Jadi, itu adalah pandangan saya. Ini adalah kesinambungan (kerja) tiga perdana menteri untuk mencapai wawasan hebat untuk Malaysia," katanya.

"Saya kini bertanggungjawab untuk memenuhi wawasan ini untuk seluruh rakyat Malaysia. Beginilah saya melihatnya," katanya sambil menjelaskan bahawa ia adalah komitmen untuk semua rakyat Malaysia yang teruja dengan Wawasan 2020.

Najib juga turut meminta semua rakyat Malaysia saling menghormati antara satu sama lain bagi memelihara keharmonian.

"Prinsip asas adalah bahawa jika kita mahu menjadi harmoni, umat Islam tidak harus menyinggung perasaan orang bukan Islam dan bukan Islam tidak boleh menyinggung perasaan umat Islam.

"Jika ada cara lain untuk melakukannya, ia adalah lebih baik tidak menyakiti perasaan orang. Jika berdasarkan siapa yang betul dan siapa yang salah, kita tidak akan bersetuju sama sekali.

"Jika anda mengambil pendirian berdasarkan bahawa tidak harus menyakiti perasaaan, maka kita akan menjadi negara yang aman buat selama-selamanya. Ini adalah impian saya untuk Malaysia," katanya. -BERNAMA
0 comments
 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. #PAU13 - All Rights Reserved
xxxx xxxx xxxx xxxx
Proudly powered by Blogger